MENU

Menu utama

Kedudukan

Kedudukan tempat yang hendak dijadikan Bandar adalah kira-kira 15 kilometer dari kuala sungai Batu Pahat, sebelah kanan tebing mudik sungai. Dato' Bentara Luar memilih kawasan ini kerana senang dan boleh merapatkan kapal-kapal besar yang dianggarkan dapat masuk ke sungai dengan membina sebuah dermaga bagi kemudahan perdagangan laut. Sungguhpun kawasan yang hendak dijadikan Bandar rendah, sering ditenggelami air masin sewaktu air pasang besar dari laut, kira-kira 2 kilometer ke darat tanahnya tinggi berbukit dan subur bagi tanam-tanaman.

Dato' Bentara Luar membuat rumah kediamannya di Kampung Penggaram bertentangan dengan Tasek Kadri untuk membuat kerja membuka Bandar.

Pada 2hb. Disember 1893, fakir menjalankan kerja menjalankan pekerjaan ukur-mengukur dari jalan kebun kopi ke Gunung Penggaram sampai ke Sungai Penggaram. Di tepi Sungai Penggaram itu fakir jadikan sebuah rumah atap tempat duduk fakir. Fakir jalankan pekerjaan membuat jalan dalam itu. Fakir mulakan menjalankan membuat rumah, pejabat, polis, mahkamah dan tambak menambak batu di jalan.

Kerja mengukur, merancang dan membangunkan pusat Bandar pentadbiran daerah telah berjalan lancar dengan bantuan kuat dua orang penghulu itu termasuk perbelanjaan yang dipungut dari orang tempatan dan juga bantuan kewangan dari Orang Kaya Bagan serta kewangan Dato' Bentara Luar sendiri.  

Pembukaan rasminya telah dilakukan pada 1hb. Januari 1894 oleh Dato' Muhamad Salleh bin Perang sendiri yang dihadiri oleh Orang-orang Kaya, Penghulu-penghulu dan orang-orang kenamaan tempatan. Kemuncak majlis perasmian itu ialah istiadat menaikkan bendera negeri Johor di Bukit Penggaram yang sekarang menjadi tapak dan kawasan rumah kediaman Pegawai Daerah dan seterusnya bukit itu disebut orang Bukit Bendera hingga hari ini. Seterusnya selepas itu pegawai-pegawai tadbir pun disusun dan pejabat-pejabat kerajaan seperti mahkamah, polis, penjara, rumah sakit dan lain-lain juga diwujudkan satu demi satu. Perkembangannya berjalan dengan baik dan lancar dan dalam masa sebulan sahaja jumlah hasil kutipan telah mencapai $ 1,500.00.

Kemaskini Terakhir: Khamis, 14 March 2024 - 8:07am