MENU

Pembukaan

Walaupun begitu, pembukaan petempatan-petempatan baru masih juga diteruskan. Pada tahun 1889 Orang Kaya Sidek bin Ismail telah membuka satu petempatan di seberang Kampung Minyak Beku yang berdekatan dengan Kampung Jakun dan kawasan ini dinamakan Benut Selamat. Tetapi tidak lama kemudian nama ini telah bertukar kepada Bagan. Ramai orang-orang yang tertarik ke tempat itu termasuk juga orang yang datang dari Pulau Jawa, Madura dan lain-lain pulau. Orang-orang Jawa yang diketuai oleh Haji Ibrahim telah membuka kebun-kebun kelapa dan kopi. Di antara orang-orang yang terkenal di kampung itu ialah seperti Pawang Abu, Haji Arshad (Orang Melaka) dan Mohamed Tab (Orang Muar).

Jadi sehinggalah pada tahun 1893, barulah Dato' Bentara Luar iaitu Dato' Muhamad Salleh bin Perang berjaya memulakan usaha bagi membangunkan bandar Batu Pahat di kawasan Simpang Kanan, kira-kira tujuh batu dari kuala Sungai Batu Pahat.

Kemajuan Bandar Maharani yang telah dibuka pada tahun 1884, mencabar keupayaan penghulu-penghulu Batu Pahat bagi membuka sebuah Bandar. Tambahan pula memandangkan kemajuan yang pesat di kawasan sekitarnya seperti Serum, Bertam, Tebing Tinggi, Kampung Sejagong, Langkap, Chaah dan lain-lain lagi, maka satu perjumpaan telah diadakan di Kuala Simpang, terdiri daripada orang-orang kaya, penghulu-penghulu, Menteri Penghulu dan Jenang-jenang (gelaran bagi ketua orang asli) yang dipengerusikan oleh Encik Abdul Hamid bin Ahmad Ketua Pengaman Batu Pahat. Keputusan mesyuarat tersebut telah melantik Penghulu Rahmat bin Ragam (Penghulu Simpang Kanan) dan Penghulu Kitam bin Mohd. Shah (Penghulu Simpang Kiri) mengadap Sultan Abu Bakar memohon Dato' Muhamad Salleh bin Perang membuka satu bandar untuk Batu Pahat. Mereka berkeyakinan Dato' Bentara Luar akan berjaya membuka sebuah lagi Bandar kali ini di Batu Pahat.

Pada 4hb. November 1893, Dato' Muhamad Salleh yang pada masa itu diam di Kampung Senangar, dipanggil ke Johor Bahru. Pada 11hb. November 1893, Sultan Abu Bakar telah bertitah kepada beliau :

"Aku disusahkan oleh dua Penghulu Rahmat dan Kitam. Dua tiga kali berjumpa dengan aku minta engkau membuka Batu Pahat. Aku jawab dengan Rahmat dan Kitam, jangan engkau semuanya sumpah dan tidak ikut apa-apa perintah dia kelak. Dia jawab pada aku, tidak sekali-kali. Aku fikir bolehlah engkau buka Batu Pahat itu, mana-mana tempat anggaran engkau hendak jadikan Bandar..."