MENU

Menu utama

Pentadbiran

Pada 1hb. Disember 1894, diadakan satu majlis pengisytiharan menamakan bandar itu dengan nama Bandar Penggaram mengambil sempena nama Kampung Penggaram yang sedia ada di situ yang menjadi kampung kediaman Penghulu Rahmat.

Selain diwujudkan sistem pentadbiran moden dengan pegawai-pegawai tadbir yang tertentu menggantikan sistem tradisional, Batu Pahat mula berkembang maju di mana Dato' Muhamad Salleh bin Perang yang menjadi wakil Raja memerintah Batu Pahat, kemudiannya menjadi Pesuruhjaya Kerajaan, telah memainkan peranan yang amat aktif.

Orang-orang kampung telah digalakkan dan digesa membuka kebun untuk bercucuk tanam dan membuat parit tali air dan dalam masa yang sama pemodal-pemodal asing mula datang membuka kebun, ladang dan berniaga di Batu Pahat. Kebolehan Dato' Bentara Luar berbahasa Cina merupakan faktor menyebabkan beliau pada umumnya disukai oleh orang Cina dan faktor yang membawa kepada kemajuan ekonomi dan harmoni di daerah ini.

Pentadbiran Batu Pahat di bawah pimpinan Dato' Bentara Luar berjalan lancar dan mengagumkan, ini dinyatakan oleh Ungku Sulaiman bin Daud, Pesuruhjaya Besar Johor (General Commisioner) dalam rangka lawatan tugasnya di Batu Pahat pada 21hb. hingga 24hb. Disember 1896.

Kemajuan ekonomi Batu Pahat dapat diukur berdasarkan pendapatan daerah yang didapati sepanjang tahun. Masa bandar ini dibangunkan dalam tahun 1893 pentadbiran daerah berjaya mengutip sejumlah $ 15,000.00 sahaja tetapi dalam tahun 1910 pendapatan tahunan mencapai jumlah $ 55,375.00.

Zaman Dato' Bentara Luar berakhir pada pertengahan tahun 1911 apabila Ungku Ahmad bin Ungku Muhamad Khalid dilantik menjadi Pesuruhjaya Kerajaan Batu Pahat menggantikan Dato' Bentara Luar. Batu Pahat mengalami zaman baru bila menjelma pula sistem pentadbiran yang seiringan dalam mana Pesuruhjaya Kerajaan Daerah berpadu dengan Penolong Penasihat berbangsa Inggeris untuk menjalankan pentadbiran.

Kini Batu Pahat terus membangun dan muncul sebagai salah satu daerah yang termaju di negeri Johor Darul Takzim dan mempunyai potensi yang besar untuk terus maju pada masa hadapan.

 

Kemaskini Terakhir: Khamis, 14 March 2024 - 8:07am