MENU

PENYERAHAN SURAT TAWARAN BAGI PENYELESAIAN SEBAHAGIAN PENDUDUKAN KAMPUNG PETANI MELALUI RUMAH MAMPU MILIK JOHOR, TAMAN BUKIT PERDANA 2, DAERAH BATU PAHAT, JOHOR.

2 JUN 2024 - BATU PAHAT – Hari ini telah berlangsung satu sesi serahan surat tawaran bagi penyelesaian sebahagian pendudukan Kampung Petani melalui Rumah Mapu Milik Johor, Taman Bukit Perdana 2, di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Batu Pahat.

Sesi tersebut telah disempurnakan oleh YB Dato’Haji Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor bersama dif-dif kehormat. Turut hadir bersama YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Negeri Kawasan Semerah; YB Datuk Haji Samsolbari bin Jamali, Timbalan Speaker Dewan Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Negeri Kawasan Semarang; Tuan Ezahar bin Abu Sairin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat; Tuan Haji Mohd Faiz bin Azman, wakil Pegawai Daerah Batu Pahat; wakil Pejabat Tanah Batu Pahat ; YBhg. Tan Sri Dato’ Tan Seng Leong, Pengarah Urusan Kumpulan BCB Berhad serta Ahli-Ahli Dewan Negeri Daerah Batu Pahat.

Majlis tersebut adalah dengan kerjasama pihak Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Pejabat Daerah Batu Pahat, Pejabat Tanah Daerah Batu Pahat, pihak BH Ng Construction Sdn Bhd dan pihak BCB Berhad dalam usaha memindahkan sebahagian penduduk Kampung Petani yang telah menetap di atas tanah bermilik di atas lot 7307 dan sebahagian di atas rizab Jalan Fatimah ke Rumah Pangsa Kos Sederhana Rendah di Taman Bukit Perdana 2, Mukim Simpang Kanan, Daerah Batu Pahat, Johor.

Sebanyak 50 buah rumah / keluarga terlibat dalam pemindahan ini dengan pelbagai insentif / bantuan telah diberi kepada penduduk tersebut. Pemindahan ini sekaligus membantu dalam menyelesaikan isu masalah setinggan di dalam Daerah Batu Pahat selaras dengan Sustainable Development Golas (SDG) 11 – Sustainable Cities and Communities.

 

Kemaskini Terakhir: Isnin, 1 Julai 2024 - 2:43pm