|
 |
|
|
|
|
|
|
Orang ramai digalak daftar polis jika keluar rumah
BATU PAHAT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) daerah ini, menggalakkan orang awam yang mahu meninggalkan rumah dalam sesuatu tempoh masa untuk mendaftar dengan pihak berkuasa berkenaan supaya keselamatan rumah mereka terjaga.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris, berkata masyarakat tidak tahu sebenarnya bukan saja pada musim perayaan mereka boleh berbuat demikian (mendaftar dengan polis) malah ia boleh dilakukan pada setiap masa.
“Kempen Rumah Selamat sebenarnya, boleh dilakukan di luar musim perayaan sebagai contoh jika orang awam pulang ke kampung di hujung minggu atau ke mana saja, mereka sebenarnya boleh datang ke balai dan mendaftar alamat rumah dengan kami.
“Polis akan membuat rondaan dan lawatan kerap di kawasan rumah pada masa ketiadaan mereka bagi mengawal seterusnya mengelakkan ia dipecah masuk penjenayah.
“Pada musim perayaan Tahuan Baru Cina lalu, semua 21 rumah yang mendaftar dengan kami bukan saja berjaya dikawal dengan rondaan kerap malah tidak dimasuki penjenayah,” katanya.
Ibrahim berkata, dengan adanya maklumat orang awam meninggalkan kediaman mereka, kami akan memperhebatkan lagi rondaan di kawasan berkenaan bagi memantau rumah yang ditinggalkan itu.
“Tumpuan diberikan pada musim perayaan dan cuti sekolah kerana kebanyakan penduduk akan pulang ke kampung masing-masing pada masa itu.
“Bagaimanapun, perkhidmatan itu turut terbuka pada bila-bila masa kerana ia bertujuan mencegah jenayah,” katanya.
Selain rondaan polis, katanya, penduduk bertanggungjawab menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mereka tahu atau melihat kejadian jenayah.
Berikutan itu, katanya, orang ramai yang melihat atau tahu mengenai kejadian jenayah boleh menghubungi nombor 07-4343999 untuk tindakan lanjut.
Sumber : Berita Harian
|
|
|
|
Hakcipta Terpelihara 2010 © Majlis Perbandaran Batu Pahat
Sesuai dipapar menggunakan IE 7.0 dan Mozilla Firefox versi 2.0 & ke atas dengan resolusi 1024x768.
|