MENU

Menu utama

 

JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, hari ini menyambung semula kerja penyiasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Mohd Rizal Buang, berkata kerja mengumpul sampel dimulakan pada jam 8 pagi, selain merakam percakapan saksi kejadian.

"Kita masih mengumpul maklumat dari lokasi kejadian, termasuk mengambil laporan saksi untuk kita jalankan siasatan.

"Ada pelbagai jenis sampel kebakaran yang kita ambil, termasuk benda yang mungkin menjadi penyumbang kepada kebakaran untuk kita dianalisis di Makmal Penyiasatan Kebakaran di Ibu Pejabat JBPM negeri di Kangkar Tebrau," katanya ketika ditemui Bernama, di sini.

Mohd Rizal berkata, pihaknya mengambil alih lokasi kejadian kebakaran wad ICU di tingkat dua bangunan induk HSA bagi menjalankan siasatan insiden yang meragut enam nyawa pesakit di ICU.

"Kita telah mengkuarantin kawasan wad ICU di aras dua sahaja untuk tempoh seminggu.

Wad lain kita telah cuci dan telah mula beroperasi seperti biasa. "Untuk siasatan ini, kita ada anggota seramai lapan orang daripada Ibu Pejabat Negeri Johor dan Putrajaya," katanya. - BERNAMA