MENU

Menu utama

BATU PAHAT: Penduduk Kampung Sri Dayung, Seri Medan, dekat sini gempar apabila menemui seekor ular sawa batik sepanjang tiga meter dan seberat 60 kilogram berlingkar di atas pelamin ketika acara rewang kenduri perkahwinan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, penduduk yang sibuk membuat persiapan kenduri terkejut apabila mendapati ular berkenaan 'berehat' di atas pelamin ketika mahu mengemas.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Batu Pahat, Syahir Zahari, berkata ular itu ditemui seorang penduduk ketika membersihkan kawasan pelamin.

Katanya, penduduk kampung menangkap ular terbabit sebelum menghubungi APM.

"Tiga anggota dihantar ke lokasi kejadian dan penduduk turut membantu mengangkat ular seberat 60kg itu," katanya.

Beliau berkata, reptilia itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri ini.