MENU

Menu utama

LA UNION (Colombia): Bola sepak dunia berkabung hari ini selepas tragedi pesawat terhempas di pergunungan Colombia semalam yang turut membawa satu pasukan bola sepak dari Brazil dengan mengorbankan 71 orang namun enam terselamat.

Legenda bola sepak Brazil, Pele dan Maradona dari Argentina termasuk bintang semasa, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo mengetuai yang lain merakamkan takziah kepada kelab Chapecoense Real, sebuah pasukan sederhana yang sedang mencipta nama namun terjejas akibat nahas berkenaan.

Bangkit baru-baru ini selepas kurang dikenali, pasukan berkenaan sedang dalam penerbangan untuk menyertai aksi final merebut Piala Copa Sudamericana, pertandingan peringkat kelab kedua terbesar di benua Amerika Selatan.

"Kesakitan ini amat terasa. Kita baru saja mahu berjaya, saya tidak katakan kita teratas namun ke arah mencipta nama di peringkat kebangsaan, tragedi seperti ini pula menimpa," kata naib presiden kelab itu, Ivan Tozzo memberitahu stesen Globo SportTV.

"Ia amat sukar, ia tragedi yang besar buat kami," katanya. Pihak berkuasa penerbangan awam Colombia pada awalnya berkata, seramai 75 terbunuh namun selepas itu mengesahkan empat dalam senarai penumpang sebenarnya tidak memasuki pesawat iaitu seorang pegawai kelab bola sepak berkenaan, seorang wartawan, Datuk Bandar kelab berkenaan berasal dan seorang ahli majlis perbandaran.

Presiden Colombia, Juan Manuel Santos menyifatkan nahas berkenaan sebagai 'tragedi yang menyayat hati' manakala Presiden Brazil, Michel Temer mengisytiharkan tiga hari tempoh berkabung.

Mereka yang terbunuh termasuk 20 wartawan Brazil yang menyertai penerbangan itu untuk membuat liputan perlawanan final berkenaan.

Pesawat sewaan berkenaan yang diterbangkan oleh syarikat Bolovia, LAMIA, berlepas dari Santa Cruz, Bolovia sebelum mengumumkan kecemasan kira-kira jam 10 malam waktu tempatan.

Ia dilaporkan akibat kerosakan elektrik dan terhempas sebaik menghampiri bandar Medellin, kata pegawai penerbangan.

Pesawat yang sama dilaporkan digunakan dua minggu lalu untuk membawa skuad kebangsaan Argentina dengan Messi berada di dalamnya untuk ke San Juan, bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia. - AFP