MENU

Menu utama

BATU PAHAT: Malaysia didesak mengusulkan agar keanggotaan Myanmar dalam ASEAN digantung segera berikutan krisis kemanusiaan etnik Rohingya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata Malaysia perlu segera mengambil inisiatif berkenaan kerana Myanmar dilihat tidak mengambil tindakan wajar dalam menghentikan keganasan terhadap etnik Rohingya yang jelas dizalimi. 

Katanya, Malaysia juga perlu membawa usul khas di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengecam tindakan lepas tangan kerajaan Myanmar terhadap kezaliman yang dilakukan.

"Malaysia perlu mengambil langkah lebih keras termasuk mengusulkan kepada ASEAN supaya menggantung Myanmar dalam pertubuhan berkenaan kerana negara itu tidak melakukan apa-apa bagi menghalang kezaliman ke atas penduduk Islam Rohingya. 

"Kita amat kesal kerana kerajaan Myanmar pimpinan Aung San Suu Kyi yang juga pemenang Anugerah Nobel Keamanan seolah-olah menutup mata dengan kezaliman yang dilakukan, malah tentera negara itu turut didakwa terbabit melakukan kekejaman di Rakhine.

"Myanmar diterima menganggotai ASEAN pada 1997 kerana pemerintah negara itu ketika itu membuktikan mereka menghormati hak asasi manusia dan kebebasan demokrasi.

Namun kini, Myanmar secara terang-terang melanggar hak asasi manusia apabila secara senyap melaksanakan langkah penghapusan etnik," katanya. Katanya, Myanmar juga lepas tangan serta tidak melakukan apa-apa bagi melindungi etnik Islam Rohingya yang dizalimi.

eliau berkata demikian selepas melawat tiga pesakit warga tua dalam program Ziarah Kasih UMNO Bahagian Batu Pahat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram, iaitu di Taman Kurnia dan Taman Banang, di sini hari ini.

Mohd Puad yang juga Ketua UMNO Batu Pahat merangkap Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), juga mendesak ASEAN melakukan siasatan terhadap Myanmar berikutan kekejaman yang dilakukan terhadap etnik Rohingya.

"Siasatan perlu dilakukan bagi mengheret pihak bertanggungjawab ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda kerana jenayah kemanusiaan yang dilakukan terhadap etnik minoriti berkenaan," katanya.