MENU

Menu utama

JOHOR BAHRU: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meneruskan program audit bahasa dan meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) merujuk kepada institusi itu bagi mengelak pencemaran bahasa Melayu terutama dalam penggunaan papan iklan.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran, berkata setakat ini terdapat lebih 15 PBT membuat semakan aspek penggunaan bahasa dengan institusi itu sebelum mengeluarkan lesen berkenaan.

Katanya, pengesahan penggunaan bahasa Melayu yang betul itu boleh dibuat secara dalam talian yang mana pihak DBP akan memberikan kelulusan dalam tempoh 24 jam.

"Program audit bahasa ini masih diteruskan dan satu kertas kerja pernah dibentangkan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan yang meminta PBT mewajibkan semakan aspek bahasa kepada DBP sebelum lesen (iklan) dikeluarkan.

"Ia sudah dilaksanakan sejak dua tahun lalu dan mendapat kerjasama PBT termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Kami minta kerjasama PBT dalam usaha memelihara dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan," katanya selepas Program Wacana Peradaban: Kebudayaan dan Kesusasteraan Dalam Pembangunan Modal Insan serta Pelancaran Buku Penulis Johor 2016 di Yayasan Warisan Johor, hari ini.

Abang Salehuddin berkata, kebanyakan papan iklan menggunakan bahasa Melayu yang tidak tepat atau salah membabitkan papan iklan haram dan PBT diminta mengambil tindakan segera mengatasi masalah itu.

Kemaskini Terakhir: Selasa, 16 April 2024 - 8:14am